Sunday, 24 May 2015
Sejauh manakah Teknologi Memberi Impak Kepada Dunia Pendidikan
Pada masa kini, perkembangan pesat dalam bidang teknologi telah membawa kebaikan kepada pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi juga membawa kesan yang buruk kepada sektor pendidikan. Isu ini juga merupakan isu yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Secara umumnya terdapat dua persepsi positif terhadap penggunaan teknologi dalam pendidikan. Pertama, dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian ilmu kepada pelajar dan kedua, menjimatkan kos.
Kesan positif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan
Pertama, penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya boleh mendapat perhatian daripada pelajar dan memudahkan mereka menyerap ilmu yang disampaikan oleh seseorang pengajar. Pada masa kini, boleh dikatakan peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda. Oleh itu, penggunaannya dalam bidang pendidikan dapat menjamin hasil yang memuaskan. Hal ini kerana penyampaian dapat dipersembahkan dalam bentuk visual yang menarik, animasi, 3D dengan suara yang dapat menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah. Ia juga dapat meringankan beban pelajar yang terpaksa mengalas beg yang penuh dengan buku ke sekolah sekiranya dapat digantikan dengan hanya beberapa keping CD-ROM pada masa hadapan.
Dari segi penjimatan kos pula, kos untuk mencetak buku dapat dijimatkan. Untuk memenuhi keperluan pelajar supaya setiap daripada mereka mendapat pinjaman buku teks, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi untuk mencetak buku teks tersebut. Dengan adanya teknologi, kerajaan dapat menjimatkan banyak kos sebab proses pembelajaran dapat dijalankan tanpa buku. Hal ini juga dapat mengurangkan penebangan pokok-pokok untuk membuat kertas. Dengan perlaksanaan pendidikan jarak jauh, ia dapat menjimatkan kos pembinaan universiti dan infrastrukturnya. Program ini memanfaatkan infrastruktur sedia ada di tempat yang lengkap dengan keperluan asas seperti kemudahan komputer dan internet. Pelajar hanya perlu pergi ke pusat tersebut pada hujung minggu untuk berbincang dengan pensyarah tentang khusus yang diikuti. Oleh itu, pelajar tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk kos pengangkutan dan tempat kediaman kerana mereka tidak perlu menghadiri kuliah di universiti.
Kesan nagatif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan
Adalah tidak dapat dinafikan bahawa suatu perkara memang terdapat pro dan kontra. Begitu juga hubungannya antara penggunaan teknologi komunikasi dalam bidang pendidikan. perkembangan teknologi banyak membantu dalam dunia pendidikan dewasa ini, namun perkembangan teknologi ini juga mendatangkan beberapa keburukan. Terdapat pelbagai isu dan masalah yang timbul berhubung dengan penggunaan teknologi komunikasi seperti internet dikalangan pelajar dan guru untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang banyak di internet yang tidak ditapis akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan khususnya kepada pelajar, yang menjadi antara golongan pelayar internet teramai di Malaysia . Terdapat banyak maklumat yang tidak sesuai seperti maklumat seks, hasutan, khabar angin, diskriminasi, dadah, promosi keganasan dan penderaan, perjudian dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang telah dijalankan di Amerika yang mendapati 48% guru sukar mencari laman web yang bersesuaian untuk proses pengajaran dalam kelas.
Disamping itu, kebanyakan isi kandungan yang dipaparkan di internet tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana, seperti yang kita tahu, medium teknologi komunikasi seperti internet tidak dikawal oleh sesiapa dan semua orang mempunyai hak untuk menulis dan menyiarkan sebarang maklumat di internet. Maklumat ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya pelajar tidak dapat membezakan antara maklumat yang betul dan yang salah. Ini akan menjejaskan matlamat pengajaran dan pembelajaran melalui internet. Oleh sebab itu, guru perlu berupaya menilai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai media dan sumber serta berupaya membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapatkan maklumat yang tepat dan betul. Kemudahan yang disajikan oleh teknologi komunikasi dalam dunia pendidikan memberi keburukan kepada pelajar.
Dewasa ini, para pelajar tidak lagi kreatif dalam memberikan idea-idea sendiri dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, teknologi komputer telah menjadikan kerja-kerja penyalinan maklumat dengan begitu senang dengan hanya menggunakan arahan file dan hanya dengan menekan “copy” and “paste”, semua kerja sudah siap tanpa perlu bersusah payah memerah otak. Walaupun teknologi membawa kemudahan dalam sistem pendidikan hari ini, namun ada juga keburukannya dimana pelajar yang selalu mengakses internet, sebagai contoh lebih tertarik untuk duduk di hadapan komputer tanpa memikirkan kehidupan sosial samada dalam keluarga atau masyarakat. Senario ini akan menyebabkan pelajar menjadi pasif dan kurang berkomunikasi antara satu sama lain sedangkan untuk menjadi seorang yang berdaya saing mereka pelu berupaya untuk memberikan idea-idea yang bernas dan berkualiti bagi memantapan dan pembangunan kejayaan mereka.
Masalah plagiarisme juga boleh berlaku tanpa disedari oleh seseorang pelajar. Pelajar sekarang suka ’copy-paste’ maklumat yang dicari dari internet tanpa menyedari sama ada ia telah melanggari hak-hak pengeluar maklumat tersebut. Masalah ini diburukkan dengan wujudnya maklumat yang berlambak dalam internet yang senang diperoleh oleh seseorang pelajar hanya dengan satu klik tanpa diketahui oleh pengeluar maklumat tersebut
Masalah komunikasi dan plagiarisme juga boleh berlaku dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Dari segi komunikasi, terutamanya mereka yang mengikuti program pendidikan jarak jauh, masalah komunikasi antara pelajar dan pensyarah mungkin wujud kerana mereka dijarakkan dengan sebuah komputer. Ia boleh menggalakkan komunikasi yang pasif antara pelajar dan pensyarah mereka. Fikirkan seorang pensyarah yang terpaksa berhadapan dengan banyak pelajar dalam satu masa melalui komputer,tidak mungkin dia boleh memberi perhatian yang sepenuhnya kepada seseorang pelajar dan menjawab persoalan yang dikemukakan dalam masa yang sama.
Cadangan/ pendapat
Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin meluas pada masa kini. Ia akan memberi kesan terhadap apa yang dipelajari dan bagaimana pelajar belajar sama ada baik ataupun buruk. Oleh itu kesan baik dan buruk penggunaan teknologi dalam pendidikan harus dipertimbangkan sebelum perlaksanaannya. Persoalan seperti di mana dan bagaimana kita menggunakan teknologi maklumat harus dijawab dan bukannya kita harus atau tidak harus menggunakannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment