Sunday, 24 May 2015

Manfaat dan Keburukan Internet Kepada Pelajar

Manfaat dan Kesan Internet yang Memudaratkan Kepada Pelajar


Pendahuluan
Internet merupakan rangkaian maklumat antarabangsa yang terbesar di dunia yang memungkinkan kita saling bertukar informasi mahupun data maklumat. ’Dunia Tanpa Sempadan’ adalah satu istilah yang sinonim dengan internet. Manakala menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, internet bermaksud rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu dengan yang lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia. Ia satu rangkaian yang besar terdiri daripada rangkaian yang kecil. Penggunaan jaringan internet kini semakin meluas ke serata dunia di era zaman moden ini. Pada masa kini, pelbagai kemudahan telah muncul kesan daripada pembangunan sains dan teknologi. Kemajuan teknologi semakin berkembang pesat dan maju dari hari ke hari. Segala kemudahan ini telah menjadikan kehidupan manusia maju ke hadapan. Tanpa internet, kita akan ketinggalan ke belakang. Maklumat juga tidak dapat disebarkan dengan cepat dan pantas. Kita akan sukar mendapatkan maklumat dan informasi yang terkini. Pada hari ini juga manusia tidak perlu lagi bersusah payah untuk memperolehi maklumat atau mendapatkan sesuatu barangan yang diperlukan. Segala keperluan dan kehendak dapat dicapai dengan mudah dan dalam tempoh yang singkat. Kini segala-galanya hanya di hujung jari kita. Internet berfungsi menyampaikan maklumat dalam keadaan yang lebih pantas dan singkat jika dibandingkan dengan alat-alat perhubungan yang sedia ada seperti pos dan telefon. Pelbagai maklumat terkini boleh didapati kerana sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa untuk keperluan pengguna.


Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report' (NOLR) yang dijalankan di Malaysia mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, para pelajar menghabiskan masa enam belas jam seminggu melayari internet. Manakala,kajian yang dilakukan oleh Grunwald Associates LLC mendapati golongan ini menghabiskan hampir sembilan jam seminggu melakukan aktiviti dalam jaringan sosial ini. Anggaran terdapat lebih daripada 459 juta pengguna internet di seluruh dunia.


Sejarah internet bermula pada tahun 1957 apabila pihak Soviet Union melancarkan satelit pertama mereka yang diberi nama Sputnik. Kementerian Pertahanan Amerika merasakan ini adalah satu ancaman kepada mereka lantas menubuhkan ARPA -Advanced Research Project Agency untuk mencipta satu sistem dimana walaupun berlakunya serangan nuklear, mereka masih lagi boleh berhubung. ARPA telah berjaya menhubungkan empat buah universiti di Amerika Syarikat. Oleh kerana sistem ini melibatkan operasi ketenteraan, satu sistem telah dibangunkan bagi memastikan tiada data yang hilang sewaktu proses perhubungan berlaku diantara keempat-empat universiti ini. Kajian demi kajian telah dilakukan dan pada tahun 1982, satu sistem dikenali sebagai TCP/IP telah dibangunkan. Sistem ini juga telah menjadi asas kepada Sistem Internet pada masa kini. TCP/IP sukar untuk kita hafal, kerana setiap komputer didunia ini perlu ada TCP/IP. Oleh itu, satu cara untuk memudahkan kita ialah dengan menggunakan nama seperti http://www.google.com/ atau http://www.yahoo.com/ . Nama-nama ini mewakili TCP/IP untuk memudahkan pengguna. TCP/IP ialah Transmission Control Protocol / Internet Protocol. Contohnya seperti 192.168.1.84.
Tiada sesiapa didunia ini yang menyangka bahawa internet itu benar-benar terjadi dan bagaimana sebenarnya internet itu berfungsi. Tugas kita sebagai pengguna internet, tidak perlu untuk memahami keseluruhan proses internet itu, melainkan jika keadaan memaksa untuk kita mendalaminya. Internet adalah sebuah dunia yang bebas. Penggunaanya ialah penghuni kepada dunia ini. Oleh itu, sesiapapun berhak untuk menggunakan internet secara meluas. Ini bermakna tanggungjawab untuk menggunakan internet secara rasional terletak diatas bahu masing-masing. Secara warasnya internet sangat berguna kepada dunia terutama kepada pelajar. Oleh itu, sebagai seorang pelajar, kita seharusnya menggunakan kemajuan teknologi internet ini dengan sebaik mungkin. Manfaatkan faedahnya tanpa disalahgunakan. Kita hendaklah mengetahui sedikit pengetahuan dalam penggunaan internet dengan kaedeh yang betul. Kos internet menjimatkan serta mudah dicapai, menjadikan pelajar gemar mengaplikasikanya dalam kehidupan seharian. Hanya dengan menggunakan kata kunci dan menekan butang kekunci, maklumat yang dicari mampu diperolehi dengan mudah, cepat dan pantas. Oleh yang demikian, pelajar akhir-akhir ini lebih cenderung menggunakan internet. Tambahan pula pelbagai maklumat boleh diperolehi berdasarkan kehendak dan keperluan pelajar pada waktu tersebut. Berdasarkan statistik di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa penggunaan internet di Malaysia adalah bukan sesuatu yang asing di kalangan para pelajar. Oleh hal yang demikian, terdapatnya kesan positif dan juga negatif hasil penggunaan internet dalam kalangan pelajar khususnya.


Manfaat Internet Kepada Pelajar


Setiap sesuatu benda atau perkara itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Manusia juga masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Sama juga seperti internet ini ada manfaat dan ada juga kemudaratan jika menggunakannya terlalu kerap sehingga mengakibatkan ketagihan. Antara manfaat penggunaan internet kepada pelajar ialah:


Maklumat
Alat komunikasi
Hiburan
Penjimatan kos dan masa.


Maklumat
Melalui internet, kita akan menerima maklumat dengan mudah dan pantas. Carian maklumat juga tidak dihadkan. Maklumat carian juga bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk bergambar rajah mahupun jadual, carta grafik, audio, animasi dan lain lain dalam bentuk media elektronik. Bermacam-macam maklumat kita boleh dapati melalui internet. Ada berita, laporan cuaca, sukan, pasaran saham, hiburan dan kadang-kadang kita akan berjumpa maklumat yang kita sendiri tak pernah fikirkan. Malah kita juga boleh membaca surat khabar menerusi internet. Sekalipun kita sudah terlepas isu terbitan cetakannya tetapi kini kita masih ada peluang membacanya menggunakan internet. Disamping itu, ia juga dapat membantu pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, internet sangat berguna untuk tujuan pembelajaran. Sebagai contoh, e-Learning. Di Malaysia, penggunaan internet sebagai salah satu medium untuk membantu pelajar dan tenaga pengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga memainkan peranan sebagai pendidik atau `tutor' siber yang berkesan. Subjek seperti Matematik dan Sains boleh diajar kepada golongan kanak-kanak dengan lebih berkesan. Bahan sains dan matematik yang ditambah dengan kesan multimedia dapat menarik minat kanak-kanak untuk mengikuti program pembelajaran dan seterusnya menanam minat. Kelebihan ini menandingi cara pembelajaran konvensional. Hal ini adalah sangat penting kerana dapat mendedahkan pelajar kepada dunia teknologi yang semakin berkembang pesat dan dalam usaha meletakkan mereka seiring dengan kemajuan dunia IT. Melalui cara ini, pelajar lebihdidedahkan kepada World Wide Web (www) untuk mencari maklumat yang dikehendaki. Sebagai contoh, pelajar tidak perlu ke perpustakaan kerana mereka boleh melayari internet di mana sahaja untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan dengan kadar segera.


Alat Komunikasi
Dari segi komunikasi, internet merupakan salah satu perantaraan yang sangat efektik dan efisen untuk melakukan pertukaran informasi jarak jauh atau dekat. Kebanyakkan manusia sekarang mengunakan internet untuk berkomunikasi dengan pelbagai cara. Capaian kepada internet melibatkan banyak elemen seperti media elektronik (e-mel), carian fail, kumpulan perbincangan dan perbualan (chatting). Ada yang menggunakan media elektronik (e-mel) untuk berhubung dengan sahabat handai, saudara mara, keluarga atau sesiapa sahaja. Penggunaan e-mel dengan perbualan menerusi internet akan mendedahkan mereka kepada pelbagai sosiobudaya masyarakat dunia. Dan, ada pula pelajar yang menggunakan kumpulan perbincangan dan perbualan (chatting) untuk mencari dan menambah kenalan di seluruh dunia serta bertukar-tukar fikiran serta idea dalam minat yang sama. Justeru, mereka boleh bertukar-tukar maklumat budaya, sejarah dan geografi antara rakan siber mereka. Pelajar juga boleh menggunakan talian internet untuk menonton video dan mendengar apa-apa muzik yang mereka minat melalui perkhidmatan yang disediakan. Ianya amat mudah dan tanpa memerlukan kos yang tinggi. Penggunaan messenger seperti Yahoo, Skype dan Hotmail telah memudahkan lagi komunikasi antara pelbagai pihak dan penggunaanya amat meluas. Selain berkomunikasi dengan menggunakan teks, penggunaaannya telah dipertingkatkan lagi dengan penggunaan suara dan video di mana kita boleh berkomunikasi dengan menggunakan suara sambil melihat wajah masing-masing dengan menggunakan Video Conferencing ataupun Tele-conference. Sebagai contoh, pelajar Sabah atau Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia dapat menghubungi keluarga mereka dengan menggunakan pelbagai messenger. Ternyata lebih menjimatkan wang.


Hiburan
Terdapat pelbagai bentuk hiburan boleh didapati hanya dengan melayari internet. Kita boleh menonton drama atau filem secara atas talian dengan hanya melayari laman-laman web yang menyediakan perkhidmatan tersebut seperti http://www.youtube.com danhttp://www.mysoju.com. Selain daripada itu terdapat juga permainan yang boleh di main secara atas talian bersama-sama dengan pemain dari pelbagai pelusuk dunia. Hiburan-hiburan lain adalah seperti mendengar muzik dan juga berkenalan dengan kawan-kawan baru di alam maya. Misalnya, jika pelajar stress dengan pembelajaran mahupun ujian dan peperiksaan mereka pasti akan mencari hiburan yang mampu mengurangkan stress mereka walaupun untuk seketika.


Penjimatan kos dan masa
Penggunaan internet ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos seperti kos panggilan telefon dan juga kos-kos lain seperti kos pengangkutan. Bagi penjimatan kos panggilan misalnya, kebiasaannya kos panggilan ke antarabangsa dengan menggunakan telefon analog amat mahal jika dibandingkan dengan penggunaan skype yang ternyata tiada caj dikenakan. Disamping itu penggunaan voice over internet protocol (VOIP) ternyata caj yang dikenakan jauh lebih murah berbanding kos panggilan biasa. Sebagai contoh, jika pelajar mahu membuat rujukan tetapi tidak mencukupi wang untuk membeli buku. Mereka boleh melayari internet sahaja untuk mencari sumber rujukan yg betul dan relevan. Dalam masa yang sama, ini dapat menjimatkan kos dan masa. Tidak membebankan pelajar mahupun mengganggu pembelajaran mereka.


Kesimpulan
Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mestilah melengkapkan masyarakatnya dengan standard etika yang cemerlang bagi melayari alam siber yang penuh dengan keselesaan. Islam sebagai agama yang membawa rahmat hendaklah dijadikan rujukan utama di dalam penggubalan standard etika kepenggunaan Internet, sesuai dengan ciri Islam itu sendiri yang membawa perubahan menyeluruh samada dari sudut sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Islam mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin agar hormat menghormati antara satu sama lain, kita menjaga kemuliaan diri dan masyarakat di sekeliling kita. Isu berkenaan pelajar terdedah dengan bahan lucah dapat dibendung jika nilai-nilai agama diterapkan dalam diri pelajar . Pihak tertentu perlu ambil tindakan untuk mengawal secara rapi supaya pelajar tidak cenderung kepada masalah social. Tiada lagi unsur yang yang boleh meracuni keutuhan masyarakat yang disebar melalui internet yang akan diakses oleh manusia sejagat. Pengaruh ICT dalam tahap kemodenan dan kehidupan masa kini tidak dapat dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan khususnya generasi muda atau pelajar. Ianya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden kini yang akan terus meningkat penggunaan dan pengaruhnya dari masa ke semasa. Penggunaan dan pengaruh dalam kehidupan masyarakat Malaysia kini sudah tidak dapat dipisahkan dengan ICT dalam banyak aspek kehidupan. Bagi mengelak atau mengurangkan kesan negatif dan menghancurkan nilai-nilai positif agama dan budaya masyarakat kita serta menonjolkan nilai-nilai positif masyarakat, semua pihak dan dari berbagai peringkat mestilah memainkan peranan mengukuhkan nilai agama, moral dan etika masyarakat kita, khususnya bagi generasi muda bagi mengelak daripada kesan negatif yang akan semakin parah. Kesan negatif sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi apa yang mungkin dapat dilakukan adalah tingkatkan kesan positif dan kurangkan kesan yang negatif. Dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif internet ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan Negara bangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment